Pelengkap tawaran VW




CARCOSA SRI NEGARA pada petang Ahad minggu lalu cukup meriah. Sekali pandang seperti hari keluarga. Banyak betul aktivitinya. Makan-makan, sesi fotografi, permainan video, sudut mewarna, sesi bercerita, kereta kawalan jauh, urut, malah merias kuku pun ada. Bagi kanak-kanak, pastinya kaunter gula kapas dan bertih jagung menjadi sasaran utama. Semua nampak relaks menghabiskan masa selama beberapa jam di sana.
Nampaknya, tema dan suasana aktiviti santai bersama keluarga sebegitu memang kena dengan pelancaran model terbaharu daripada Volkswagen Group Malaysia (VGM).
Ciri terbaik VW
Dikenali sebagai Sharan, kenderaan pelbagai guna (MPV) itu sudah memasuki generasi kedua. Ia menjadi tawaran terbaharu VGM kepada pengguna Malaysia yang dilihat kian selesa dengan jenama dari Jerman itu selepas model-model seperti Polo, Golf, Jetta, Cross Touran, Passat, Passat CC, Tiguan dan Touareg.
Volkswagen (VW) mula mengeluarkan Sharan pada tahun 1995, sebagai respons kepada pasaran yang gemarkan MPV bersaiz besar, tetapi mampu menawarkan pemanduan seperti sebuah kereta.
Ketika itu, Sharan dibangunkan bersama Ford menerusi model Ford Galaxy sebelum VW melakukan rebadged model sama menggunakan jenama SEAT yang kemudian diberi nama Alhambra. Pada tahun 2006, Ford tampil dengan Galaxy baharu yang tiada kena mengena dengan Sharan, selain model MPV S-Max yang dibina di atas kerangka sedan Mondeo.
Selepas 15 tahun, biarpun cuma mengalami proses penambahbaikan (facelift) sebanyak dua kali, Sharan nyata diterima baik terutama di pasaran Eropah apabila lebih 600,000 unit berjaya dijual.

BUKAAN pintu yang luas untuk memudahkan proses keluar masuk kenderaan.


Di Malaysia yang kenderaan import sepenuhnya (CBU) memang mahal, VGM memposisikan Sharan sebagai sebuah MPV premium. Ini bukan dakwaan semata-mata kerana Sharan hadir bersama pelbagai ciri yang membuatkannya lebih mewah berbanding MPV sekelas dengannya.
Pengarah Urusan VGM, Ricky Tay menyifatkan Sharan sebagai sebuah MPV yang unik. Sharan memiliki semua inovasi terbaik Volkswagen. Nilai tambahnya juga terletak pada rekabentuk menarik, ciri-ciri termaju dan sistem keselamatan. Di samping teknologi termasyur Volkswagen, enjin TSI turbocharged dan kotak gear berkembar Direct Shift Gearbox (DSG).
“Jadi, selain bersifat versatil untuk membawa seisi keluarga, MPV ini juga menawarkan pemanduan sporty,” kata Ricky.
Berdasarkan kepada penampilan luaran, rekaan Sharan terbaharu itu nyata lebih menarik. Ia merupakan hasil tangan Ketua Perekabentuk Kumpulan VW, Walter de Silva dan Ketua Perekabentuk Jenama VW, Klaus Bischoff yang berpaksikan kepada DNA rekabentuk VW baharu.
Walaupun sekali pandang ia tetap berkotak seperti MPV lain, Sharan sebenarnya memiliki garis sisi yang kemas. Rekaan ringkas sebegitu bertujuan mencipta keseimbangan dan kelihatan energetik.
Rekaan itu tidak mengujakan saya. Namun kalau diikutkan, pembeli kenderaan sebegini tidak meletakkan rekaan sebagai kriteria terpenting untuk membelinya. Mereka lebih berminat kepada ruang dalaman luas, banyak ruang penyimpanan barang, tahan lasak dan menawarkan pengendalian yang stabil.
MPV itu tidak menggunakan teknik bukaan pintu konvensional. Ia sebaliknya diganti dengan pintu gelongsor yang boleh dikawal secara elektrik dengan hanya menekan butang pada rantai kunci. Satu ciri yang bagus jika anda terpaksa memakir di ruang sempit.
Satu lagi perkara yang semestinya disukai ramai ialah sistem bantuan ketika memakir kenderaan. Dikenali sebagai Park Assist 2.0, ia sangat berguna jika hendak memakir sama ada secara sejajar atau mengundur. Sistem itu dipertingkat lagi menerusi Park Distance Control (PDC) dan paparan kamera belakang.
Sebenarnya, inilah kali pertama Park Assist 2.0 dipasang pada kenderaan VW. Jadi, kalau dengan Park Assist 2.0 pun kereta boleh kemek, mungkin ada baiknya beli Perodua Viva sahaja.
Sesuai dengan statusnya sebagai MPV mewah, tempat duduk Sharan yang boleh menempatkan tujuh orang penumpang dewasa dengan selesa (termasuk tempat duduk baris ketiga) itu dibalut dengan kulit ‘Vienna’.

ANDA boleh mengharapkan kualiti pemanduan yang responsif menerusi padanan enjin TSI 2.0 liter dan kotak gear DSG enam kelajuan automatik.


Kalau hendak mengangkat barang besar dan mahukan ruang kargo luas, lipat sahaja tempat duduk baris kedua dan ketiga. Operasinya juga mudah dengan hanya menarik satu tuil. Sekelip mata, ruang itu menjadi seluas 2,430 liter.
Tech Package
Papan pemuka yang berwarna hitam itu diserikan dengan kemasan berwarna perak titanium pada bingkai corong pendingin hawa, sistem audio dan butang kawalan. Sistem audio RNS510 dengan skrin sentuh pula diintegrasi bersama sistem navigasi yang turut boleh membaca fail daripada sumber kad SD.
Sementara pacuan DVD memiliki kapasiti simpanan fail mencecah 30GB. Maklumat navigasi dan audio dipapar menerusi paparan TFT. Sistem sama dipertingkat menerusi peranti antara muka MEDIA-IN bersama satu kabel adapter USB dan opsyen AUX-IN.
Bagi memudahkan pemanduan, Sharan dibekalkan dengan stereng multi fungsi dengan butang kawalan. Pemandu juga kekal berhubung dengan kenderaan melalui paparan multi fungsi ‘Plus’ yang diletakkan pada bahagian meter .
Jika di pasaran lain, misalnya United Kingdom Sharan ditawarkan sehingga 14 varian yang dibezakan menerusi pilihan enjin dan aksesori, VGM sebaliknya hanya menawarkan dua varian Sharan untuk pengguna Malaysia. Varian itu dibezakan oleh pakej teknologi atau Tech Package.
Pakej tersebut merangkumi Adaptive Chassis control (DCC), sistem bunyi premium DYNAUDIO dengan lapan pembesar suara berkuasa 800 watt, sistem kunci ‘Keyless Access’, sistem penghidup serta sistem amaran ‘Lane Assist’.

PINTU gelongsor pada kedua-dua belah sisi yang bergaya dan praktikal.


Biarpun begitu, kedua-dua varian itu menerima aspek mekanikal yang sama. Sharan dipacu menggunakan enjin bersesaran 2.0 liter TSI turbocharged. Enjin dengan sistem pancitan terus yang turut digunakan oleh model Golf GTI itu mampu menjana kuasa sehingga 200PS @ 5,100rpm dan tork puncak 280Nm yang boleh diperoleh pada putaran enjin serendah 1,700rpm hingga 5,000rpm.
Enjin bercekapan tinggi itu dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan DSG. Ia bukan sekadar menawarkan pemanduan yang lancar, malah penjimatan penggunaan bahan api dengan catatan 8,5 liter untuk setiap 100 kilometer.
Jadi, jika anda merancang untuk membeli sebuah MPV bersaiz penuh yang mewah, ada baiknya singgah sebentar ke mana-mana bilik pameran VW. Anda mungkin berkenan dengan Sharan

No comments:

Post a Comment